Saturday 8 September 2012

UUMZONE: ANUAR ZAIN DI KONSERT DIRAJA MENJUNJUNG KASIH 2012


 
UUM ONLINE: Penyanyi tersohor tanah air, Anuar Zain akan mengadakan persembahan sempena Konsert DiRaja Menjunjung Kasih 2012  bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang bakal berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), pada 15 September ini.

Konsert yang akan diadakan ini adalah sebagai suatu kelangsungan kepada siri persembahan Konsert DiRaja yang pernah diadakan sebelum ini bersempena dengan Hari Pengasasan Universiti kali ke 28 pada 16 Februari yang lalu.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Amy Azhar Mohd Harif berkata, konsert kali ini berbeza dan diadakan khas sebagai tanda ucapan terima kasih dan tahniah kepada Tuanku Canselor UUM, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang  di-Pertuan Agong  ke 14.

“Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan Baginda telah berkenan untuk berangkat menyaksikan konsert ini nanti,” katanya sewaktu Sidang Media Konsert DiRaja Menjunjung Kasih 2012, di Istana Budaya, semalam.
Katanya lagi, melalui penganjuran konsert seperti ini, ianya membantu memberi manfaat kepada pelajar-pelajar terutama dalam aspek pengurusan acara dalam memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka dalam menguruskan sesuatu acara.

Sementara itu,Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani pula berkata, OTM yang bakal mengiringi persembahan pada malam itu nanti merupakan kumpulan orkestra yang unik di dunia yang baru ditubuhkan pada dua tahun lalu.

“Uniknya OTM ini, ianya terdiri daripada kumpulan 1Malaysia yang mempunyai pelbagai jenis muzik iaitu, muzik Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan pelbagai lagi. Inilah keunikan OTM yang tidak hanya mengkhususkan kepada muzik satu bangsa sahaja,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Huzaidy Hussain ketika ditemui pula berkata, objektif penganjuran juga adalah untuk memaparkan unsur-unsur kebudayaan yang boleh menjadi pemangkin kepada keharmonian dalam masyarakat selaras dengan matlamat Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

“Penganjuran konsert seperti ini dapat menerapkan ciri-ciri kesantunan dan memberikan pendedahan kepada masyarakat kampus tentang salah satu bidang kesenian ini.

“Malah dapat menarik minat masyarakat kampus supaya melibatkan diri dalam kegiatan aktiviti kesenian, di samping dapat menceriakan suasana kampus dengan persembahan kesenian yang bermutu tinggi,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, konsert yang akan berlangsung selama sejam setengah itu bakal menyaksikan Anuar menyampaikan enam lagu hits beliau iaitu Ketulusan Hati, Lelaki Ini, Kau Bunga Cintaku, Ajari Aku, Cinta Harus Memiliki dan Sedetik Lebih.

Mereka yang berminat untuk membuat tempahan atau pembelian kupon berharga RM30 dan RM50 boleh menghubungi Mohd Zulkifli Mohd Noor di talian 04-9284070/4091 atau Nazri Yauddin Nawawi di talian 04-9285815. Atau terus melalui Yatz Kaizen.

No comments:

Post a Comment